Monday, November 7, 2011

Diskusi GPTD Unisel | 7 Nov 2011 |1432 H

Bismillahirrohmanirrohim

Semasa Konvo Kak Tini



Allahuakbar Allahuakbar Allahuakbar LailahailAllah huAllah huakbar, Allahuakbar walillahilham. Malam ini diskusi bermula dengan solat berjemaah dan diikuti takbir. Syahdu mendengarnya dan yang paling penting adalah bagaimana sebenarnya kita membesarkan Allah bukan sahaja ketika menyebutNYA tetapi dalam perlakuan kita sehari-hari.
Diskusi diteruskan walaupun hanya 6 orang yang hadir pada malam ini namun kuantiti bukan objektif utama GPTD dilahirkan. Yang paling penting adalah penghasilan daripadanya serta kualitinya. Kami membuka lembaran rujukan kami Al-Quran dan menjamunya dengan menangkap makna-makna pengorbanan yang pernah dilakukan Nabi-Nabi terdahulu kerana setiap apa yang diciptakan itu tidak ada yang sia-sia.
Nabi Muhammad s.a.w diuji kehilangan keluarga, kehilangan isteri yang disayangi dan ditentang habis habisan ketika menyebarkan islam. Namun, itu semua bukan penghalang Rasulullah meneruskan perjuangan malah kesabaran dan keimanan Rasulullah bertambah tinggi dengan mendapat ujian-ujian seperti itu. Bagaimana pula dengan kita apabila menerima ujian seperti itu. Sanggupkah kita membenarkan rukun iman yang ke enam : Beriman kepada Qada dan Qadar atau hanya sekadar lafaz dibibir sahaja.
Hei kawan, semua orang pasti pernah merasa jatuh, kehilangan, kegagalan dan semua itu pasti melibatkan emosi yang sedih. Kita menangis dan meraung dengan sedih yang teramat seolah Allah tidak pernah memberikan kebahagian kepada kita, seolah kita tidak pernah mendapat kejayaan daripada Allah. Dimana yang dikatakan ingin mencontohi pengorbanan Rasulullah s.a.w? Soal hati sendiri pun tidak dapat ditawan apalagi hati orang lain.Nafsu sendiri saja tidak dapat dikawal apalagi melarang orang lain.
Bagaimana Nabi Nuh a.s membina bahtera untuk menyelamatkan  ummatnya , kita juga harus mencontohi Nabi Nuh a.s membina bahtera. Bahtera yang boleh membawa manusia ke jalan yang benar dan lurus. Dan dalam membina bahtera itu, sudah tentu perlunya pengumpulan kayu-kayu, perlunya pengumpulan pendakwah agar bahtera itu boleh disiapkan dengan sepenuhnya. Binatang ternak yang berpasangan harus dikumpul dan dinaikkan agar generasi terpelihara dan tidak pupus. Mengajak kebenaran bukanlah tugas yang mudah sehinggakan Nabi Nuh a.s sendiri dilabel gila. Begitu juga kita, mengajak orang kepada kebenaran memang bukan tugas yang mudah.Terkadang pelbagai dugaan yang akan diterima namun itu bukanlah satu alasan untuk tidak menyebarkan rahmat Allah itu. Berapa ramai mereka di luar sana yang masih hanyut dengan budaya hedonisme yang melampau lampau dan hanyut dengan dunia sendiri?Bahtera itulah yang akan menyelamatkan mereka dari terus hanyut dan kitalah yang perlu membina bahtera itu. Selamatkan keluarga, kawan dan diri kita dari api neraka.
Hati dan jiwa memainkan peranan penting. Hati itu perlu bersih dalam menangkap makna ayat-ayat Allah. Melakukan pengorbanan memerlukan hati yang ikhlas. Ikhlas itu sendiri perlu difahami maksudnya.Ikhlas kerana Lillahi Taala. Jika hati yang ikhlas melakukan pengorbanan, pasti walau berada dimanapun kita akan sentiasa berkorban untuk menurut perintah Allah. Buya Hamka pernah dipenjara namun masih dapat menyiapkan tafsir Al-Azhar  kerana fizikalnya terkurung tetapi minda dan hatinya bebas. Begitu juga Nabi Ibrahim, menyembelih anaknya demi sebuah perintah dari Allah s.w.t. Namun, kerana keikhlasan itu sebati di dalam diri beliau maka dilaksanakan juga dan hikmahnya digantikan seekor kibas. Setiap pengorbanan itu wajib akan ada yang terkorban. Namun, semua itu punya hikmah yang tersendiri. Jangan bersedih hati ketika kecewa apabila ditolak,dilabel gila dan sebagainya, anggaplah itu teguran Allah dalam memperbaiki diri.
Benarkanlah ayat-ayat Allah dengan memahami,mencontohi dan mengikuti. Ada sebab mengapa kita dipilih untuk membina bahtera itu.Hikmahnya masih tersimpan kini namun jika sabar dan ikhlas mengiringi akan terungkai sebuah hikmah yang tidak disangka-sangka. Semoga bermanfaat.
Apa pengorbanan kita sehingga hari ini?

Selamat Hari Raya Idul Adha 1432 H.
Mbak Yani
Selasa | 3.03 petang | 7 nov 2011

No comments:

Post a Comment